Warna Warni Sebuah Perjalanan Bernama Kehidupan

"Hai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhaiNya. Maka masuklah ke dalam jama'ah hamba-hambaKu, masuklah ke dalam syurgaKu."
Princess Ilham On Tuesday, May 25, 2010
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam buat Nabi Muhammad s.a.w.

Tajuk di atas dan artikel di bawah diambil dari blog Islam Itu Indah. Saya rasa ramai di kalangan kaum wanita yang merasakan mereka mungkin mengalami masalah ini. Sebenarnya, masalah ini tidak sepatutnya di pandang ringan. Kenapa? Kerana ianya melibatkan soal batal atau tidaknya wuduk. Sebab di antara perkara yang membatalkan wuduk adalah keluar sesuatu dari dua saluran (qubul dan dubur) atau dari salah satu samaada yang keluar itu angin atau benda. Ini mungkin menimbulkan masalah kepada wanita yang ingin menunaikan solat. Jadi diharapkan artikel di bawah dapat membantu wanita yang mempunyai masalah ini.

Penulis: Dr Rosediani Muhammad

(Pakar Perubatan Keluarga, Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian, Kelantan)

Keluar angin melalui faraj (kentut vagina)

Pengenalan

Perbahasan mengenai keluarnya angin melalui faraj atau vagina atau qubul ada disentuh oleh ulama. Mengikut kaedah saintifik, vagina adalah tiub yang berotot dan berdinding membran sepanjang 7 hingga 9cm yang menghubungkan pangkal rahim ke bukaan faraj. Bukaan faraj ini dikawal oleh beberapa otot kemut sama seperti otot yang mengelilingi bukaan dubur dan salur kencing. Dalam keadaan biasa, tiub ini berada dalam keadaan tertutup, dindingnya kempis menyentuh antara satu sama lain dan tidak mengeluarkan sebarang angin. Ini adalah kerana, bakteria yang berada di sel-sel lapisan dalam vagina hanya bertindak balas mengeluarkan asid laktik dan menjadikan faraj berasid, lembab dan membantu mengelakkan jangkitan kuman pada permukaannya.

Keadaan ini berbeza dengan situasi yang berlaku pada usus besar yang mana bakteria dalam usus besar bertindakbalas mengeluarkan gas yang dikenali sebagai kentut. Maka dalam keadaan normal, vagina sepatutnya tidak mengeluarkan sebarang angin melainkan sekiranya seseorang wanita itu mengalami masalah fistula (lubang penyambung) antara rektum (usus besar) dengan vagina akibat pembedahan antara usus dan faraj. Keadaan ini menyebabkan angin dari usus besar masuk ke dalam faraj.

Kebanyakkan wanita sebenarnya mengalami masalah keluar masuk angin di antara kelopak besar labia (labia majora), angin ini berkumpul di celah ruang yang terbentuk antara kelopak dan faraj. Fenomena ini sering di salah anggap sebagai angin yang keluar dari bukaan faraj. Lebih memburukkan keadaan apabila wanita berkenaan mengangkat hadas iaitu membasuh bahagian kemaluan mereka. Air yang terperangkap di celah-celah kelopak-kelopak besar labia, menyebabkan pergerakan angin keluar masuk melalui kelopak-kelopak labia ini lebih ketara dirasai semasa pergerakan solat yang akhirnya turut mengeluarkan bunyi dan rasa keluar angin seperti kentut. Lebih menyulitkan lagi, bukaan faraj tidak mempunyai deria rasa yang sensitif seperti bukaan dubur hingga membolehkan kita dapat merasai keluarnya angin dari bukaan faraj secara yakin.

Namun begitu, keluar masuk angin melalui vagina berkemungkinan berlaku kepada wanita yang mengalami kelemahan pada otot-otot kemut seperti wanita yang telah melahirkan ramai anak, mengalami masalah jatuh peranakan dan juga tidak dapat mengawal kencing (kencing dedas). Bagi memastikan angin yang keluar masuk itu bukan dari vagina, wanita disarankan berdehem selepas membuang air sebagaiman dianjurkan Rasulullah bagi orang yang mengalami masalah kencing dedas, mengelap kering bahagian sulit selepas berhadas kecil atau melakukan ujian dengan meletakkan tisu di antara kelopak ini (bukan menyumbat faraj). Sekiranya angin sudah tidak kedengaran lagi maka sahlah ia berasal dari masalah ini, jika dia terus menerus berlaku, maka wanita perlu mengakui besar kemungkinan angin itu berasal dari faraj. Wanita berkenaan disarankan mempraktikkan senaman kemut untuk menguatkan semula otot-otot kemut bagi menutup kemas bukaan faraj.

Hukum dan Implikasinya

Hukum wanita yang mengeluarkan angin/kentut melalui faraj (qubul) adalah batal wuduknya berdasarkan dalil berikut:

'Abbad bin Tamim melaporkan dari Nabi s.a.w yang berkata, "Jangan seseorang iaitu meninggalkan solat sehingga ia mendengar bunyi kentutnya atau tercium baunya"
Hadis direkodkan oleh Muslim dan Bukhari


Berdasarkan hadis di atas, secara jelas Rasulullah memberitahu bahawa keluar angin boleh membatalkan solat. Oleh itu wanita yang mempunyai masalah angin pada faraj disarankan mengambil langkah-langkah berikut:
  1. Berdehem selepas membuang air kecil
  2. Membasuh kemaluan dengan sempurna
  3. Mengelap faraj sehingga kering dan menutupi ruang kemaluan dengan tisu, kain atau menutupi ruang dengan rapat menggunakan tuala pelekat yang nipis dan bersih
  4. Kemudian memakai seluar dalam yang kemas agar udara tidak boleh masuk sebelum berwuduk dan menunaikan solat.
Sikap berhati-hati dalam menunaikan ibadah solat amat penting agar solat sah dan diterima Allah.-Editor




0 comments:

Post a Comment