Ilham Nur al Huda

Pages

Warna Warni Sebuah Perjalanan Bernama Kehidupan

"Hai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhaiNya. Maka masuklah ke dalam jama'ah hamba-hambaKu, masuklah ke dalam syurgaKu."
Princess Ilham On Saturday, July 24, 2010
Salam

Blog ini sudah tidak di'update'

Kunjungi blog baru DI SINI
Princess Ilham On Sunday, May 30, 2010
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam buat rasul junjungan Nabi Muhammad saw.
Segala puji bagi Allah kerana mendatangkan keresahan di jiwa ini setiap kali aku berani melanggar perintahMu. Keresahan yang amat menderitakan. Jiwa gersang, fikiran bercelaru, lantas ketenangan pun berlari pergi meninggalkan jiwa dalam deritanya sendiri.

Segala puji bagiMu Ya Allah, masih terbit rasa penyesalan, walau dosa ini entah kali berapa terus berulang. Terus lagi aku bersyukur, masih belum pudar keinginanku untuk kembali kepadaMu, kepada fiirahku yang sebenar...cuma aku terlalu lalai...

Hari-hari yang saya lalui beberapa hari ini terasa sia-sia....

Terima kasih kepada saudara/i yang sudi melawat blog saya. Blog ini masih baru, masih 'kosong', namun insyaAllah post ini adalah yang terakhir.

Nothing more to say...juz bye.










Princess Ilham On Wednesday, May 26, 2010
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah atas segala nikmatNya.
"Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?"
Ayat di atas disebut berulang-ulang dalam surah Ar-Rahman. Juga, selawat dan salam buat rasul junjungan, Nabi Muhammad SAW.
"Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikatNya berselawat untuk nabi. Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya." [33:56]

Di sini saya ingin berkongsi email balas dari seorang ustaz kepada saya tentang panduan untuk mendalami agama. Walaupun mungkin jawapan yang diberikan khusus untuk masalah yang ditanya oleh saya, diharapkan ianya juga bermanfaat untuk orang ramai. Terima kasih buat Ustaz Emran Ahmad.


Wa'alaikumussalam.

1. Sebagai seorang muslimah, saudari perlukan mahram. Eloklah cari suami yang beragama dan boleh membimbing diri saudari.

2. Bidang sains juga salah satu suruhan agama, Allah menyuruh kita manfaatkan diri untuk mempelajari segala jenis ilmu untuk mengabdikan diri pada-Nya.

Ilmu agama: ilmu untuk melaksanakan ibadat (pelajari apa yang perlu untuk beribadah)

Ilmu sains/dll: ilmu untuk dipergunakan agar dapat mengabdikan diri kepada Allah SWT dalam hidup.

3. Membaca buku adalah bagus kerana ia adalah kunci ilmu- BACA. Ingin bertanya kepada ustaz atau pergi mengaji kalau tak ada basic pun susah juga. Jadi buku membantu kita untuk mempunyai basic dan asas pengetahuan. Sekurang-kurangnya kita tahu apa yang ingin ditanya tentang perkara yang kita tidak tahu.
Banyakkan membaca, ianya amalan mulia.

4. Mencari guru/mendengar ceramah dan kuliah pun bagus dan bermanfaat. Kata kunci yang perlu dipegang:

Ambil apa yang kita perlu dan tinggalkan apa yang tak perlu contohnya bab khilaf, perselisihan pendapat dan sebagainya

5. Bacalah buku yang sudah disepakati dan asas agama seperti:

  • Aqidah: Aqidah Tahawiyah atau yang mana mudah
  • Tafsir Quran: Tafsir Ibn Katsir
  • Hadis: Hadis 40 Imam Nawawi, Riyadus Solihin
  • Feqah: Fiqh sunnah dan buku-buku feqah yang mudah
  • Akhlak: bacalah buku-buku yang berkait akhlak Islam
6. Petua mengaji agama ialah jangan gopoh dan banyakkan bersabar serta menkaji.

7. Betulkan matlamat hidup...Hidup hanya sekali, jadikan ia di jalan Allah. Rancanglah kehidupan ini akan dihabisi dengan cara bagaimana, maka dari situ matlamat hidup akan lebih jelas.

Editor


Princess Ilham On Tuesday, May 25, 2010
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam buat Nabi Muhammad s.a.w.

Tajuk di atas dan artikel di bawah diambil dari blog Islam Itu Indah. Saya rasa ramai di kalangan kaum wanita yang merasakan mereka mungkin mengalami masalah ini. Sebenarnya, masalah ini tidak sepatutnya di pandang ringan. Kenapa? Kerana ianya melibatkan soal batal atau tidaknya wuduk. Sebab di antara perkara yang membatalkan wuduk adalah keluar sesuatu dari dua saluran (qubul dan dubur) atau dari salah satu samaada yang keluar itu angin atau benda. Ini mungkin menimbulkan masalah kepada wanita yang ingin menunaikan solat. Jadi diharapkan artikel di bawah dapat membantu wanita yang mempunyai masalah ini.

Penulis: Dr Rosediani Muhammad

(Pakar Perubatan Keluarga, Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian, Kelantan)

Keluar angin melalui faraj (kentut vagina)

Pengenalan

Perbahasan mengenai keluarnya angin melalui faraj atau vagina atau qubul ada disentuh oleh ulama. Mengikut kaedah saintifik, vagina adalah tiub yang berotot dan berdinding membran sepanjang 7 hingga 9cm yang menghubungkan pangkal rahim ke bukaan faraj. Bukaan faraj ini dikawal oleh beberapa otot kemut sama seperti otot yang mengelilingi bukaan dubur dan salur kencing. Dalam keadaan biasa, tiub ini berada dalam keadaan tertutup, dindingnya kempis menyentuh antara satu sama lain dan tidak mengeluarkan sebarang angin. Ini adalah kerana, bakteria yang berada di sel-sel lapisan dalam vagina hanya bertindak balas mengeluarkan asid laktik dan menjadikan faraj berasid, lembab dan membantu mengelakkan jangkitan kuman pada permukaannya.

Keadaan ini berbeza dengan situasi yang berlaku pada usus besar yang mana bakteria dalam usus besar bertindakbalas mengeluarkan gas yang dikenali sebagai kentut. Maka dalam keadaan normal, vagina sepatutnya tidak mengeluarkan sebarang angin melainkan sekiranya seseorang wanita itu mengalami masalah fistula (lubang penyambung) antara rektum (usus besar) dengan vagina akibat pembedahan antara usus dan faraj. Keadaan ini menyebabkan angin dari usus besar masuk ke dalam faraj.

Kebanyakkan wanita sebenarnya mengalami masalah keluar masuk angin di antara kelopak besar labia (labia majora), angin ini berkumpul di celah ruang yang terbentuk antara kelopak dan faraj. Fenomena ini sering di salah anggap sebagai angin yang keluar dari bukaan faraj. Lebih memburukkan keadaan apabila wanita berkenaan mengangkat hadas iaitu membasuh bahagian kemaluan mereka. Air yang terperangkap di celah-celah kelopak-kelopak besar labia, menyebabkan pergerakan angin keluar masuk melalui kelopak-kelopak labia ini lebih ketara dirasai semasa pergerakan solat yang akhirnya turut mengeluarkan bunyi dan rasa keluar angin seperti kentut. Lebih menyulitkan lagi, bukaan faraj tidak mempunyai deria rasa yang sensitif seperti bukaan dubur hingga membolehkan kita dapat merasai keluarnya angin dari bukaan faraj secara yakin.

Namun begitu, keluar masuk angin melalui vagina berkemungkinan berlaku kepada wanita yang mengalami kelemahan pada otot-otot kemut seperti wanita yang telah melahirkan ramai anak, mengalami masalah jatuh peranakan dan juga tidak dapat mengawal kencing (kencing dedas). Bagi memastikan angin yang keluar masuk itu bukan dari vagina, wanita disarankan berdehem selepas membuang air sebagaiman dianjurkan Rasulullah bagi orang yang mengalami masalah kencing dedas, mengelap kering bahagian sulit selepas berhadas kecil atau melakukan ujian dengan meletakkan tisu di antara kelopak ini (bukan menyumbat faraj). Sekiranya angin sudah tidak kedengaran lagi maka sahlah ia berasal dari masalah ini, jika dia terus menerus berlaku, maka wanita perlu mengakui besar kemungkinan angin itu berasal dari faraj. Wanita berkenaan disarankan mempraktikkan senaman kemut untuk menguatkan semula otot-otot kemut bagi menutup kemas bukaan faraj.

Hukum dan Implikasinya

Hukum wanita yang mengeluarkan angin/kentut melalui faraj (qubul) adalah batal wuduknya berdasarkan dalil berikut:

'Abbad bin Tamim melaporkan dari Nabi s.a.w yang berkata, "Jangan seseorang iaitu meninggalkan solat sehingga ia mendengar bunyi kentutnya atau tercium baunya"
Hadis direkodkan oleh Muslim dan Bukhari


Berdasarkan hadis di atas, secara jelas Rasulullah memberitahu bahawa keluar angin boleh membatalkan solat. Oleh itu wanita yang mempunyai masalah angin pada faraj disarankan mengambil langkah-langkah berikut:
  1. Berdehem selepas membuang air kecil
  2. Membasuh kemaluan dengan sempurna
  3. Mengelap faraj sehingga kering dan menutupi ruang kemaluan dengan tisu, kain atau menutupi ruang dengan rapat menggunakan tuala pelekat yang nipis dan bersih
  4. Kemudian memakai seluar dalam yang kemas agar udara tidak boleh masuk sebelum berwuduk dan menunaikan solat.
Sikap berhati-hati dalam menunaikan ibadah solat amat penting agar solat sah dan diterima Allah.-Editor




Princess Ilham On Friday, May 21, 2010
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji hanya untuk-Nya, Tuhan langit dan bumi. Selawat dan salam moga tercurahkan buat kekasih-Nya, Rasul-Nya, Muhammad S.A.W.

Menjelang maghrib tadi, jiwa saya bergoncang. Ada desakan syaitan laknatullah mengajak saya melakukan kemungkaran. Sementara iman saya cuba melawannya, maka bergoncanglah hati ini. Seusai solat maghrib, hati masih lagi tidak tenang. Berfikir-fikir saya sendirian. Melawan atau menyerah?. Dalam sibuk saya berfikir, syaitan lagi sibuk dan ligat membisikkan betapa nikmatnya berbuat dosa. Alhamdulillah, Allah yang tidak pernah lupa mengingatkan saya akan bacaan saya petang tadi. Sebuah buku oleh Pahrol Mohamad Juoi, Di Mana DIA di Hati Ku. Antara tulisannya berbunyi:

Para Muttaqin (orang yang bertaqwa) pernah memberi petunjuk: Bila hatimu keras, buas dan liar sekali, bukalah al-Quran, baca dan tadabbur akan makna dan rasanya. Bukankah al-Quran penawar hati?. Namun jika masih keras juga dirikan solat. Solat itu zikir penyucian hati.

Solat maghrib telah saya tunaikan namun hati masih bercelaru memilih melawan atau menyerah syaitan laknatullah, akhirnya saya mengambil terjemahan al-Quran. Saya tidak tahu ayat apa ingin saya tadabbur akan maknanya, maka saya buka secara rambang.

Maha suci Allah yang mempertemukan saya dengan ayat yang saya cari. Sepotong ayat tentang kilat.

Saya dalam perjalanan pulang dari Perlis ke Terengganu menaiki bus. Pulang untuk cuti semester selama dua bulan. Mata belum lagi mengantuk walau pada hari ini saya hanya tidur lebih kurang satu jam!. Tambahan saya ingin menikmati perjalanan pulang saya dengan melihat ke luar cermin bus dalam pekat malam. Entah apa yang saya nampak, hakikatnya, saya sedang berfikir-fikir, hanya mata melihat ke luar. Sesekali gelap malam menjadi cerah, dan saya berkesempatan melihat bendang walaupun tidak jelas. Cukuplah saya tahu saya melihat kawasan tanaman padi dengan cerah sekejap-sekejap itu.

Bus terus berjalan dan saya terus berfikir. Saya melihat ke langit, ada bintang-bintang, cuma kekadang terkeliru dengan pantulan cahaya di cermin bus. Yang itu bukan bintang. Saya melihat kilat. Ya, itulah yang mencerahkan alam sekejap-sekejap. Baru saya sedar akan 'kewujudan' kilat. Sepanjang perjalanan saya terus memerhati kilat dan berfikir-fikir tentang kilat. Saya teringat ada dalam al-Quran ayat tentang kilat. Saya ingat Allah menjadikan kilat...takut dan harap. Saya lupa ayat apa, surah apa.......

Dan hari ini, Allah temukan ayat itu kepada saya. Ayat tentang kilat Allah sebut dalam surah Al Ra'd (Guruh) [13:12].

"Dialah Tuhan yang memperlihatkan kilat kepadamu untuk menimbulkan ketakutan dan harapan, dan Dia mengadakan awan mendung".
Saya tertarik untuk membaca terjemahan ayat-ayat surah itu. Saya mulakan dari ayat pertama. Semakin lama, hati semakin kuat, semakin kagum dengan ayat-ayat Allah. Hati menjadi tenang membaca ayat-ayat Allah. Sampailah saya kepada ayat 22 hingga 24 sebelum saya memutuskan untuk berhenti sampai ayat tersebut.

22: Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya , mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan serta menolak kejahatan dengan kebaikan; orang-orang itulah yang mendapat tempat kesudahan (yang baik),

23: (iaitu) syurga 'Adn yang mereka masuk ke dalamnya bersama-sama dengan orang-orang soleh dari ibu bapa mereka, isteri-isteri mereka dan anak cucu mereka, sedang malaikat-malaikat masuk ke tempat mereka dari tiap-tiap pintu;

24: (sambil mengucapkan): "Salamun 'alaikum bima sabartum (Selamat sejahteralah kamu, di atas kesabaran kamu)". Maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu.

MashaAllah, sedarkah betapa besarnya ganjaran itu? Tuhan yang Maha Mengasihani memberikan syurga buat hambaNya yang sabar. Sungguh, tidak akan pernah sia-sia kesabaran hambaNya. Semuanya dinilai olehNya.


"Selamat sejahteralah kamu, di atas kesabaran kamu".

Tenang hati membacanya. Bagai terasa ringan sifat sabar itu. Tidakkah rasa ingin diucapkan dengan ucapan seperti ini? Maka bersabarlah...nantikannya di syurga...dengan izinNya ucapan itu untukmu.

* Tulisan saya terhadap ayat-ayat al-Quran di atas hanya merujuk kepada terjemahan al-Quran dan saya tidak merujuk kepada mana-mana tafsir. Sebarang kesilapan mohon ditegur.
Princess Ilham On Tuesday, May 18, 2010
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji bagi-NYA. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, Nabi Muhammad S.A.W.

Apa ada dengan akan datang? Akan datang adalah masa depan. Mungkin 20 tahun yang akan datang, mungkin juga setahun akan datang, mungkin juga esok. Yang pasti apa yang berlaku selepas ini, itulah saat yang dipanggil 'akan datang'.

Takut menghadapi esok


Berbagai peristiwa berlaku dalam hidup saya. Ingin saja saya katakan semuanya bagaikan peristiwa teruk. Peristiwa yang amat menyakitkan untuk saya terima ia sebagai kesilapan saya. Saya silap tapi kenapa saya silap, sedangkan saya hanya ingin taat? Saya menerima akibat yang cukup banyak dari kesilapan itu? Saya dipersalahkan atau memang saya yang salah? Akhirnya saya akur bahawa saya silap, entah kerana benar-benar berasa silap atau sebab-sebab lain yang menyebabkan saya merendah diri dan bersikap saya lemah hingga mengaku itu salah saya.

Saya bukan mempersoalkan takdir Tuhan. Cuma ini monolog diri. Sungguh setiap yang berlaku itu ada hikmah. Dan sungguh hikmah itu terhijab. Saya ingin merungkai hikmah itu. Sebab saya yakin Allah tidak mungkin menjadikan sesuatu itu sia-sia. Allah itu tidak zalim sehingga Dia sengaja membuat hamba-Nya terasa sakit. Seringkali saya mengatakan itu tarbiyah dari Allah. Mungkin Allah mendatangkan semua itu untuk menjadikan diri ini kuat menghadapi dunia hari esok yang pesonanya makin mempersona. Namun, kesakitan yang kurasakan amat sakit sehingga saya jadi tidak kuat. Saya takut menghadapi apa yang akan berlaku esok. Apakah esok hanya akan mengkhabarkan kesilapan saya lagi? Sungguh jiwa ini derita, makin takut menghadapi kenyataan hidup hingga jiwa ini rasa tidak mahu tahu lagi.

Benar, kesakitan ini akan hilang namun bila? Saya bersabar, saya berusaha berjalan menelusuri lembah-lembah kehidupan seiring takdir-Nya. Namun, untuk saya nantikan esok yang tiada lagi kesakitan ini, itulah yang menghilangkan sabarku.

Saya semakin takut menghadapi esok. Saya takut melakukan kesilapan lagi. Sekarang saya hentikan tadbir. Saya serahkan pada Allah kerana apa saja yang telah saya buat seolah semuanya mengundang kesilapan. Saya cuma ingin berdiam diri dalam harap pada Allah. Saya ikut jalan takdir-Nya. Namun saya masih takut, adakah berdiam diri itu juga satu kesilapan yang akan baru saya sedari hari esok?